Berat Badan Naik Selepas Menopaus.
Ohhh! Berat badan naik selepas menopaus ke? Berat badan kebanyakkan wanita mula bertambah secara beransur-ansur setelah mencapai umur 45 tahun atau di peringkat pra-menopaus. Kita mungkin tidak sedar tetapi hormon estrogen yang dikenali juga sebagai ‘hormon wanita’ akan berkurangan pada usia menopaus dimana ia dipercayai boleh meningkatkan berat badan wanita.
Apakah Punca Berat Badan Naik Selepas Menopaus?
Selain makan secara berlebihan dan pemilihan makanan yang kurang sihat, faktor penurunan paras hormon estrogen dan hormon lain juga boleh memberikan kesan terhadap saiz dan bentuk tubuh kita.
Jika kita tidak mengambil langkah proaktif untuk menjaga berat badan,tubuh kita akan bertukar daripada bentuk PEAR ke bentuk EPAL secara perlahan-lahan. Ia berlaku kerana tubuh kita memerlukan estrogen dalam membantu metabolisme karbohidrat serta mengawal atur paras gula dalam darah dengan berkesan.
Apabila paras estrogan menurun selepas menopaus, kalori tambahan yang tidak digunakan akan bertukar menjadi lemak dimana lemak-lemak tersebut tersimpan di bahagian perut, pinggul dan paha. Penurunan kadar metabolisme selepas menopaus mengakibatkan proses pencernaan makanan serta tenaga yang dihasilkan menjadi tidak efektif. Wanita lebih cenderung menjadi lebih pasif sekaligus kalori tambahan yang tidak digunakan akan ditukarkan menjadi lemak.
Siapakah Akan Berat Badan Naik Selepas Menopaus?
Kebanyakkan wanita menopaus tergolong dalam golongan yang telah bersara atau kurang melakukan aktiviti sosial. Oleh itu, mereka merasakan tidak ada keperluan untuk menjaga bentuk badan mereka. Malah mereka juga kerap makan di luar kerana anak-anak lazimnya sudah dewasa. Wanita-wanita menopaus ini inginkan kehidupan yang lebih santai dan mudah!
Emosi yang tidak stabil pada usia menopaus juga menyebabkan perubahan pada tabiat pemakanan dan gaya hidup seharian. Terdapat segelintir wanita yang cuba mengatasi masalah ini dengan mengamalkan pengambilan hormone replacement therapy (HRT). Namun, kaedah ini mempunyai risiko yang tersendiri dan memerlukan pemantauan pihak doktor. Golongan wanita yang ingin mencuba HRT perlu menjalani beberapa pemeriksaan seperti pemeriksaan darah, mamogram dan pap smear.
Walaupun ada sesetengah wanita-wanita menopaus ini berpendapat penampilan bentuk badan mungkin tidak penting pada usia sebegini. Namun, perlu ditegaskan bahawa berat badan yang berlebihan sememangnya akan meningkatkan risiko mendapat pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, strok, darah tinggi, sakit jantung serta kanser wanita seperti kanser kolorektal, payu dara dan lain-lain.
Cara Terbaik Untuk Menurunkan Berat Badan Selepas Menopaus.
Bagi wanita yang telah mengalami masalah berat badan, jangan sesekali putus asa untuk menurunkan berat badan anda! Azam yang tinggi amat diperlukan untuk menurunkan berat badan bagi menjamin kita mempunyai kesihatan yang unggul pada usia menopaus.
Pertama sekali, kita perlulah menerima hakikat bahawa menopaus adalah proses fisiologi normal yang pasti berlaku kepada semua wanita. Menopaus adalah proses yang tidak dapat dielakkan.
Tidak dinafikan ramai wanita bimbang akan perubahan sistem biologi badan, sedikit sebanyak mempengaruhi kestabilan emosi serta fizikal, khususnya saiz tubuh yang semakin mengembang.
Wanita menopaus boleh mendapatkan khidmat nasihat doktor untuk mempelajari kaedah yang betul untuk membantu menyelesaikan masalah berat badan mereka selepas menopaus.
Cara Yang Terbaik Bagi Menurunkan Berat Badan Yang Boleh DiAmalkan.
Bersenam
Senaman secara rutin selama 15 hingga 30 minit setiap hari. Senaman yang boleh dilakukan aadalah senaman Nirvana (apa itu senaman Nirvana?), aerobik, berbasikal dan berjalan kaki. Sekiranya anda baru hendak berjinak-jinak dengan senaman, lakukan senaman ringan terlebih dahulu pada peringkat awalnya. Kemudian barulah ke peringkat senaman yang lebih berat apabila badan sudah mulai berasa selesa. Bagi wanita yang mempunyai masalah kesihatan,misalnya masalah jantung, perlulah dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
[kad_youtube url=”https://youtu.be/HpMVIJ3gpZc” ]
Kawal tabiat pemakanan.
Pastikan anda makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Wanita memerlukan kalori 200 kilo kalori lebih rendah setiap hari apabila telah mencapai umur 50 tahun ke atas.
Berjaga-jaga dengan pemakanan harian. Untuk menurunkan berat badan secara efektif, wanita digalakkan mengambil diet yang mengandungi banyak sayur-sayuran hijau, buah-buahan,bijirin serta daging tanpa lemak.
Pengambilan diet yang mengandungi kandungan gula yang tinggi serta lemak tepu tidak digalakkan kerana boleh menyumbangkan kepada pengumpulan lemak di dalam badan pada jangka masa yang panjang serta boleh menyebabkan saluran darah pada jantung tersumbat.
Melibatkan diri dengan aktiviti sosial.
Cara ini dapat mengatasi masalah emosi yang tidak seimbang yang sering berlaku selepas menopaus seperti kemurungan,keresahan dan sukar tidur malam. Selain itu, ianya dapat menjadikan golongan wanita menopaus itu berasa lebih muda dan yakin.
Ada pepatah peribahasa Inggeris – ” You Don’t Stop Dancing Because You Grow Old, You Grow Old Because You Stop Dancing!”. Ia mengingatkan kita bahawa untuk menjadi seorang individu yang sihat, kita perlulah sihat dan sejahtera dari segi mental dan fizikal. Kesihatan mental memerlukan kita memiliki pandangan dan sikap yang positif serta proaktif terhadap diri sendiri dan orang lain.
Usia bukan penghalang kita untuk hidup sihat dan sejahtera. Kesihatan yang baik memberikan peluang yang terbaik untuk kita mudah beribadat tanpa masalah.Wanita-wanita perlu kekal sihat dan cantik di usia menopaus.
Artikel asal ditulis oleh Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Registrar Obstetrik & Ginekologi yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia. Dipetik dari Malaysian Medical Gazette. Sedikit sebanyak artikel ini telah diolah semula mengikut kesesuaian .