Cacing-cacing berkenaan mampu hidup di dalam usus, darah serta organ manusia sehingga bertahun-tahun dengan mendapatkan makanan melalui zat-zat yang terdapat di dalam usus ketika proses penghadaman.

Lazimnya, jangkitan cacing lebih mudah dialami oleh kanak-kanak terutama jika ibu bapa tidak mengambil cakna tentang kebersihan anak-anak.

Jangkitan cacing atau parasit itu boleh menjangkiti kanak-kanak sama ada melalui pemakanan atau persekitaran yang kotor.

Jangkitan melalui pemakanan berlaku apabila sayur atau buah-buahan yang tidak dibasuh dengan betul menyebabkan telur cacing tidak tertanggal, selain amalan tidak membasuh tangan sebelum makan bagi kanak-kanak manakala bagi bayi pula sering memasukkan barangan ke dalam mulut.

Jangkitan cacing juga boleh diperoleh melalui persekitaran jika kulit kanak-kanak berkenaan terdedah kepada telur cacing secara terus, misalnya tidak memakai selipar atau bermain pasir tanpa pengawasan.